
بسم الله الرحمن الرحیم
Sebagaimana yang dipersetujui di kalangan filusuf Muslim maksud falsafah atau dikenali juga sebagai Ilahiyyah, Maa ba’da tabi’ah, Maa qabla tabi’ah atau metafizik ialah ilmu yang membahaskan tentang kewujudan dengan kaedah logik burhan. Skop perbahasan subjek kewujudan dalam falsafah bukan bererti perbicangannya fokus kepada hakikat makna wujud atau dalam erti kata yang lain mafhum wujud di dalam minda (anda harus bezakan antara makna wujud dalam minda dengan realiti wujud yang merangkumi aspek yang lebih luas sama ada dalam minda mahu pun di luar minda), tetapi yang dibincangan dalam falsafah adalah kewujudan itu sendiri dan makna wujud adalah sebahagian dari perbincangan kewujudan.
Subjek kewujudan di dalam falsafah juga bukan secara mutlak tanpa syarat, dalam falsafah kewujudan itu dilihat dari sudut “موجود بما هو موجود” iaitu falsafah membahaskan kewujudan dari sudut kewujudan tanpa melihat dari sudut mahiyah yang khusus pada kewujudan tersebut, contohnya falsafah tak melihat kewujudan manusia, kewujudan malaikat tertentu dibahaskan kerana setiapnya ada hukum-hukum tersendiri, manusia yang memiliki jiwa dan jisim ada hukum yang tersendiri, makhluk tanpa jisim seperti malaikat memiliki hukumnya yang tersendiri tetapi falsafah ia membahaskan wujud dari sisi wujud bukan dari sisi mahiyahnya, apa sahaja yang wujud maka ia terakum dalam kaedah yang sama, sama ada ia berjisim atau tanpa jisim, haiwan atau tumbuhan dan apa sahaja wujud maka ia termasuk dalam perhatian perbahasan falsafah contohnya wajib dan mungkin atau sebab akibat, apa-apa sahaja kewujudan tidak terlepas dari wajib atau mungkin, sama ada wujud sebab atau akibat.
Method falsafah mengunakan akal kerana ilmu falsafah termasuk dalam kategori ilmu hakiki yang berbentuk nazari (teori) bahkan akal yang digunakan dalam falsafah adalah akal qias burhani bukan akal tajrubi. Falsafah termasuk dalam pembahagian nazari seperti matematik, geometri, sains dll sebagaimana pembahagian ilmu yang terkenal di zaman Ibn Sina. Jika perbahasan tentang kewujudan tetapi kaedahnya adalah menukil pandangan-pandangan pemikir yang lain tanpa penilaian hujah akal burhani maka ia bukan method falsafah. Akal burhani di sini bermaksud hujah kias yang paling meyakinkan dalam ilmu mantiq. Untuk huraian perbezaan method falsafah mengunakan akal qiasi dengan akal tajrubi ialah melihat perbezaan keabsahan pada 2 proposisi ini :
1. Jumlah ketiga-tiga sudut dalam suatu segi tiga ialah 180 darjah.
2. Takat didih air pada suhu bilik dan tekanan atmosfera (piawai) adalah 100°C.
Berdasarkan 2 proposisi ini adakah hukum keabsahan, pembenaran dan pembuktian adalah sama? Adakah kedua-dua proposisi ini pembuktian pembenarannya memerlukan kepada ujikaji atau tajrubiah (experience)? Jawapannya tidak.
Proposisi pertama adalah berdasarkan kaedah logik dan elemen euclid iaitu parallel postulate, tiada seorang ahli matematik mengunakan kaedah ujikaji untuk membuktikan bahawa jumlah ketiga-tiga sudut dalam suatu segi tiga ialah 180 darjah manakala proposisi kedua pembenaran dan keabsahannya adalah berdasarkan ujikaji. Beza kedua proposisi ini ialah pertama sanggahannya berdasarkan logik, jika diragui jawapan 180 darjah maka ia kontradik dengan kaedah elemen euclid dalam geometri. Elemen eucliddianggap sebagai axioms dalam proposisi geometri iaitu perkara yang jelas pada akal walau pun kedudukan usul kelima iaitu parallel postulate diragui mencapai axioms atau tidak. Kedua sifat hukum akal ialah universal, ia tidak terbatas pada tempat dan waktu tertentu, di mana dan bila sahaja ia berlaku, ia adalah benar. Berbeza pada proposisi kedua, keabsahannya bergantung pada penilaian ujikaji, kenyatan takat didih air pada suhu bilik dan tekanan atmosfera (piawai) adalah 100°C bukan berdasarkan andaian akal semata-mata tetapi ia adalah ujikaji yang dilakukan berkali-kali sehingga ditemui punca dan kaedahnya. Boleh sahaja andaian dibuat bahawa terdapat kondisi yang tidak diketahui takat didih air pada suhu bilik dan tekanan atmosfera (piawai) bukan pada 100°C dan ini tidak kontradik seperti mana proposisi pertama. Kita boleh klafikasikan proposisi pertama adalah sebagai proposisi posteriori manakala proposisi kedua adalah priori.
Oleh demikian, berdasarkan method ini (akal qiasi burhani) kajian-kajian pada masalah sebab akibat, masa dan ruang, jiwa, ketuhanan adalah berbentuk universal pada sudut logik, jika anda mendapat kesimpulan A adalah B maka ia merentas masa dan ruang kerana ia bersifat universal.
Isu-isu persoalan utama yang dibincangkan dalam Falsafah Islam ada tiga perkara utama:
1. U’mur ammah (perkara-perkara am) atau Ilahiyyah dengan makna am.
2. Teologi atau Ilahiyyah dengan makna khas
3. Ilmu Nasf atau falsafah jiwa.
Pada bahagian u’mur ammah (perkara-perkara universal) ia adalah perbahasan dasar bagi perbahasan teologi dan nasf (jiwa) kerana pemahaman-pemahaman dalam ketuhanan dan nasf terbina berdasarkan hukum-hukum yang telah disimpulkan dalam perbahasan u’mur ammah. Antara perbahasan u’mur ammah adalah perbahasan :
1. احوال كلي الوجود ( ciri umum kewujudan)
2. مواد الثلاثة(tiga bahan)
3. وجود رابط ورابطي(wujud penghubung dan hubungan)
4. الجعلة(kejadian)
5. الماهية(hakikat zat)
6. وحدة و كثرة(satu dan banyak)
7. العلة والمعلول(sebab dan akibat)
8. قوة وفعل(potensi dan jadi)
9. تقدم و تاخر(mula dan akhir)
10. علم، عالم و معلوم(tahu,mengetahui dan diketahui)
11. مقولات(kategori)
12. حركة و سكون(gerak dan staktik)
13. كلي طبيعي(wujud am yang semulajadi)
14. وجود ذهني(wujud minda)
Dalam isu teologi atau ketuhanan secara khas dibincangankan tentang zat, sifat dan perbuatan Tuhan dari sudut wujud manakala perbahasan falsafah nasf atau jiwa terbahagi kepada 2 perbahasan iaitu tentang hakikat kewujudan jiwa dan kewujudan jiwa selepas dari kematian iaitu tentang kewujudan jiwa selepas berpisah dari badan.
Secara tidak langsung falsafah yang datang dari tamadun Yunan dan tumbuh subur dalam dunia Muslim, perbahasannya sangat berkait rapat dengan akidah Muslim itu sendiri berbeza dengan perkembangan falsafah di barat daripada isu-isu ontologi metafizik berpindah kepada isu-isu epistemologi yang seterusnya jurang menjadi semakin ketara antara pemikiran falsafah yunan terdahulu dan kini. Falsafah Yunan yang berkembang dalam tradisi islam daripada isu ontologi menuju pada isu teologi, psikologi dan seterusnya diakhiri dengan perbahasan eskatologi iaitu kewujudan jiwa selepas terpisah dari badan serta tafsiran-tafsiran falsafah berkenaan hari kiamat sebagaimana yang dinyatakan dalam sumber wahyu. Kesemua 3 perkara yang disebutkan dalam isu-isu persoalan falsafah itu, semuanya terkandung dalam kitab-kitab utama perbincangan falsafah Muslim khususnya dapat dilihat dari karya-karya Ibn Sina seperti kitab As-Shifa’, Isyarat sehinggalah ke kitab Asfar Arbaah karya Mulla Sadra.
Bila anda hendak memahami secara keseluruhan bangunan pemikiran falsafah Muslim, maka bangunan tersebut adalah terbina dari seputar 3 permasalahan tersebut dan setiap tokoh filusuf itu memiliki perspektif tersendiri sekitar 3 isu permasalahan tersebut. Walau pun binaan falsafah islam terbina dari himpunan idea-idea filusuf muslim dan syarahan-syarahan atas 3 pokok permasalahan tersebut tetapi tidak semua mampu membina dasar sistem pemikiran tersebut. Dalam sejarah pemikiran tamadun muslim mengenai falsafah, hanya 3 tokoh yang diiktiraf memiliki dasar yang berbeza dalam perbahasan falsafah ini iaitu Ibn Sina, Suhrawardi (Syekh Eshraq) dan Mulla Sadra. Oleh demikian walau pun ramai yang memiliki sistem pemahaman tersendiri tentang wujud dalam falsafah namun dasar-dasar sistem pemikiran mereka tidak terlepas terbina dari salah satu 3 sistem bangunan yang besar ini iaitu kita dapat kategorikan mereka kepada kelompok Avisenisme (ibn sina), Ehsraqi dan Hikmah mutaaliah.
Walaupun 3 bangunan pemikiran falsafah ini memiliki perbezaan pada dasarnya namun dasar-dasar berubah kerana perkembangan dalam membaikpulih setiap persoalan yang timbul dan kritikan ke atasnya. Dalam pemikiran falsafah Muslim falsafah Ibn Sina lah yang paling teliti dan panjang lebar sesuatu isu dibahaskan setelah itu datang Syekh Eshraq membina semula falsafah apabila kritikan-kritikan yang mampu menimbulkan keraguan yang diajukan oleh pihak mutakalimin seperti Imam Ghazali dan Fakhruddin Razi. Perkembangan falsafah Sina kepada falsafah Eshraq ibarat sebuah pohon yang baru membesar menjadi sebuah pohon kerana penelitian yang dilakukan Syekh Esraq adalah pada ranting-ranting masalah dan membina dasar-dasarnya menjadikan ia lebih kukuh. Kritikan dan syarahan syekh Eshraqi ibarat hawashi dan nota kaki para ranting-ranting yang dikemukan oleh Ibn Sina kerana Ibn Sina telah membawa semua masalah-masalah dasar dari madrasah pemikiran masyaie dan mensyarahnya secara detail dan teliti namun masih tidak ampuh dipersoalkan, maka Syekh Eshraq datang membina semula falsafah sina supaya dapat berkembang dengan baik. Walau pun Syekh Eshraq berjaya memandu perkembangan ke satu arah iaitu kesepaduan antara rasional dan mistik namun perkembangan itu terbantut dan tidak dapat memenuhi semua keperluan sebuah pohon tersebut sehinggalah datang Mulla Sadra membawa asas asalatul wujud yang membina dasar yang lebih jelas dan kukuh dan berjaya menutup kritikan-kritikan sebelum ini sehingga akhirnya pohon itu berbuah.
Oleh demikian seseorang yang ingin memahami dan menguasai pemikiran Falsafah Islam haruslah memahami dan menguasai 3 permasalahan umum iaitu ummur ammah, teologi dan falsafah nasf dari pemahaman ketiga-tiga madrasah ini iaitu falsafah Ibn sina, Eshraqi dan Sadra. Sebaiknya seorang pelajar itu memulai mempelajari falsafah islam adalah bermula dari memahami falsafah Ibn Sina kerana pemusatan permasalah falsafah islam berkembang dari situ bahkan kritikan atas falsafah dari imam Ghazali dan Fakruddin razi adalah dari falsafah Ibn Sina sehinggakan ada pengkaji mengatakan kitab Maqasid al falasafah adalah terjemahan arab dari kitab Donesh Nomehye Alaei Ibn Sina dan setelah itu pemusatan kritikan imam Ghazali berdasarkan tafsiran Ibn Sina. Setelah itu pelajar perlu memahami dasar pemikiran Eshraqi berdasar karyanya iaitu hikmatul al-eshraq dan al-mashari’ wa’l-mutarahat sebelum memahami falsafah Sadra kerana semua pemikiran dan ilmu nazari itu tidak muncul dengan tiba-tiba melainkan ia adalah kesinambungan dan perkembangan dari idea-idea yang terdahulu, oleh sebab itu apabila kita mempelajari pemikian falsafah sadra ia adalah analisa pada pemikiran terdahulu dan melakukan reboot pada sistem pemikiran falsafah sebelumnya. Tanpa kita memahami persoalan-persoalan terdahulu, kita tidak mampu memahami apa yang telah dijana semula oleh Mulla Sadra dan juga fokus persoalan yang ingin dibincangkan. Falsafah Eshraqi adalah rentetan daripada falsafah Sina dan kajiannya juga menjangkaui falsafah Yunan dan sebelumnya, falsafah farsi kuno atau falsafah Khusravani, falsafah Mesir purba, tamadun pemikiran babylon, india dan cina. Selain akal yang menjadi method utama dalam kajian falsafah, pada sudut pandang syaikh Eshraq akal dan pancaindera belum cukup capaian pada sesuatu hakikat maka dalam epsitemologi Syaikh Eshraq menjadikan irfan, agama dan kashaf disamping akal memecahkan persoalan sekitar 3 isu yang telah kita sebutkan sebelum ini.
Pemahaman yang mendalam haruslah mempelajari terus dari sumber primer seperti falsafah Sadra adalah kitab asfar arbaah, Ibn Sina kitab Shifa’ dan Isyarat dan juga syarahan-syaharan dan nota kaki dari pengikut madrasah tersebut supaya permasalahan ilmu itu lebih lumat dihadam oleh pelajar tersebut. Namun begitu ini memerlukan masa yang lama,usaha dan jerih yang berat untuk ditanggung seseorang pelajar malah kondisi masa dan ekonomi yang tidak membantu.
Di era ini untuk memahami Falsafah Islam ini memerlukan ringkasan pada dasar-dasar falsafah tersebut. Setelah itu kepada huraian yang lebih detail untuk memahaminya lebih mendalam pada dasar-dasar yang telah kita fokuskan kerana dalam kitab-kitab utama falsafah huraiannya disertai dengan nukilan-nukilan pandangan tokoh terdahulu pada suatu permasalahan kemudian dianalisa semula dengan kritikan dan penyelesaian maka sukar bagi pelajar untuk mengenal pasti apakah dasar pada sistem pemikiran sesuatu madrasah itu.
Oleh itu Tradisi mengambil inisiatif memfokuskan masalah-masalah utama yang dibincangkan dalam Falsafah Islam iaitu Tradisi mulakan dengan perbincangan u’mur ammah supaya menolong pengkaji untuk memahami akar permasalahan dalam Falsafah Islam dengan cepat dan tepat. Tradisi memilih falsafah yang mutakhir iaitu falsafah Sadra dari 3 tahap pemikiran falsafah islam yang telah disebutkan sebelum ini kerana ciri falsafah Sadra adalah menganalisa pemikiran madrasah terdahulu dengan huraian yang lebih detail dan menyelesaikan masalah-masalah atas kritikan pada falsafah Sina dan Eshraqi. Tradisi memilih topik perbicangan falsafah sadra dari kitab Bidayah dan Nihayah Hikmah oleh Tabatabaei kerana beliau salah seorang pakar falsafah Sadra yang telah berjaya meringkaskan dasar pemikiran falsafah hikmah mutaliah secara berperingkat dari pemula hingga pemahaman pada peringkat lebih tinggi. Tradisi memilih tajuk perbahasan mahiyah sebagai tajuk permulaan iaitu perbahasan pada tahap kelima dari kitab bidayah hikmah tabatabaei kerana di nusantara tajuk mahiyah dan maqulat lebih mesra dan dikenali dari perbincangan apakah itu wujud dan seakatan dengannya.
InsyaAllah kelas perbahasan mahiyah sebagaimana tajuk di bawah ini akan dibimbing oleh saudara Firuz Ramli seorang sarjana dalam bidang falsafah dan teologi dan pernah mengkhatam kitab bidayah dan nihayah tabatabei. Kelas akan dimulakan pada tarikh 8hb julai 2023.
Kelas mahiyyah secara 8 pertemuan mengikut fasal yang dibincangkan dalam kitab ini akan dimulakan pada tarikh 8 Julai 2023 bertempat di Pejabat TRADISI, iaitu di Sg Buloh, Selangor.
Fasal 1 : 8 Julai 2023
Fasal 2: 15 Julai 2023
Fasal 3: 22 Julai 2023
Fasal 4: 29 Julai 2023
Fasal 5: 5 Ogos 2023
Fasal 6: 12 Ogos2023
Fasal 7: 19 Ogos 2023
Fasal 8: 26 Ogos 2023
Sebarang perubahan tarikh akan dimaklumkan oleh pihak penganjur.
Setiap sesi selama 3 Jam (Muhadarah, diskusi, soal jawab)
*Yuran komitmen bagi 8 Fasal ini: RM100 Sahaja.
**Penyertaan peserta terhad