
Oleh: Mohd Jamizal bin Zainol
Kita telah tiba di Bulan Rejab. Ini bermakna kita sudah semakin hampir dengan Bulan Ramadhan bulan yang penuh kemuliaan bagi umat Islam. Bulan Rejab juga bulan yang istimewa kerana sabda Nabi Muhammad SAW “Bulan Rajab bulan Allah, bulan Sya’ban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.” Dengan tibanya bulan Rajab ini marilah kita sama-sama mengukuhkan lagi kefahaman kita tentang hakikat Ketuhanan kerana perkara aqidah ialah perkara paling asas dalam membentuk pandangan alam kita sebagai umat Islam.
Manusia ini diciptakan dengan dasar pengetahuan a priori percaya wujudnya suatu kuasa tertinggi yang mentadbir alam ini. Tidak ramai manusia sebenarnya yang tidak percayakan Tuhan dengan menjadi seorang ateis. Namun, yang menjadi masalahnya bukan tidak percaya wujudnya Tuhan tetapi kekeliruan tentang konsep Tuhan itu sendiri. Apa itu Tuhan? Adakah ianya berjisim? Adakah Tuhan mempunyai sifat-sifat tertentu? Adakah Tuhan itu bersama dengan alam? Adakah Tuhan itu diluar Alam? Apakah perbuatan Tuhan? Ini semua adalah persoalan-persoalan biasa yang akan ditanyakan oleh setiap manusia yang mempunyai akal jernih.
Di sinilah pentingnya untuk kita memahami konsep ketuhanan yang sebenar supaya pandangan alam kita mengakar kukuh dan tidak dapat diganggu gugat dengan pelbagai kekeliruan dan isme-isme miring yang jika tidak berhati-hati akan merosakkan aqidah. Ilmuwan Islam, Tan Sri Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam magnum opusnya Prolegomena to the Metaphysics of Islam telah menggariskan beberapa asas kefahaman yang boleh menjadi rujukan umat Islam bagi memahami hakikat ketuhanan yang sebenar menurut Al-Quran. Al-Quran sebagai Kalam Tuhan adalah sumber utama bagi memahami hakikat ketuhanan. Dalam Al-Quranlah Tuhan menerangkan hakikat-Nya melalui-Nya dan ianya boleh dicapai melalui penalaran aqal dan intuisi dan dalam beberapa keadaan dapat difahami melalui pengalaman intuisi yang hanya berupaya dilalui oleh sebilangan orang yang diberikan kelebihan itu oleh Tuhan.
Paling penting perlu ditancapkan oleh semua umat Islam ialah premis bahawa Tuhan yang difahami oleh Islam adalah tidak sama dengan kefahaman Tuhan oleh agama-agama atau kebudayaan lain di dunia ini. Ia juga tidak sama dengan dengan konsep Tuhan yang difahami oleh orang-orang Greek dan penganut falsafah Hellenistik ataupun konsep Tuhan yang difahami oleh falsafah Barat atau Sains. Faham konsep ketuhanan dalam Islam juga tidak sama dengan Tuhan yang difahami oleh tradisi-tradisi mistik Timur. Jika ada pun persamaannya ia bukanlah bermakna kefahaman itu sama kerana Tuhan yang difahami mereka adalah berasaskan sistem dan konsep yang sama sekali berlainan dengan Islam.
Misalnya ada yang menyamakan Tuhan semua agama atas alasan kesatuan Tuhan dan oleh itu agama itu semuanya sama. Ini adalah faham yang keliru dan salah. Bagi mereka di peringkat alam metafizik semuanya menyembah Tuhan yang sama dan dari Tuhan yang satu dan sama inilah terjelma di alam fizik ini pelbagai agama. Bagi mereka semua agama ini menyembah Tuhan yang sama di alam metafizik. Ini bukanlah faham ketuhanan dalam agama Islam. Islam percaya di peringkat metafizik, semua manusia mengiktiraf Tuhan hanyalah sebagai Rabb. Malah Iblis juga mengiktiraf Tuhan sebagai Rabb diperingkat ini. Tetapi Islam mempercayai mengiktiraf Tuhan sebagai Rabb di alam metafizik mestilah dijelmakan pula dengan penerimaan manusia akan Tuhan di peringkat dunia fizikal yakni Tuhan sebagai Ilah.
Jika hanya mengiktiraf Tuhan sebagai Rabb apa bezanya dengan Iblis yang membuat pengiktirafan yang sama tetapi ingkar dengan perintah Tuhan. Penerimaan Tuhan sebagai Ilahinilah yang membezakan Islam dengan agama, tradisi dan falsafah-falsafah yang lain. Penerimaan Tuhan sebagai Ilah di dunia fizikal ini bermaksud tidak menyekutukan Tuhan dengan makhluk, dan beribadat atau melakukan penyerahan (submission) kepada Tuhan melalui kaedah dan cara yang diterima oleh Tuhan yang diajarkan oleh para Nabi. Pengiktirafan Tuhan sebagai Rabb dan menerima Tuhan sebagai Ilah inilah yang melengkap kefahaman kita kepada hakikat Ketuhanan yang sebenar. Maka, mengatakan semua Tuhan dan agama adalah sama adalah suatu kesilapan dan kekeliruan yang perlu diperbetulkan.
Pengertian sifat Tuhan dalam Islam adalah penyempurnaan dari apa yang diturunkan
kepada para Nabi. Menurut Al-Qur’an, Tuhan itu Esa ,hidup, berdiri sendiri, kekal dan teguh. Wujud adalah dzatnya. Dia adalah satu pada zatnya. Tiada boleh dipecah-pecahkan pada zatnya, sama ada dalam imaginasi, dalam realiti, atau dalam sebarang andaian. Tuhan bukanlah zat dimana sifat-sifat tertentu diletakkan pada zatnya atau sesuatu yang terbahagi-bahagi kepada bahagian-bahagiannya, dan bukan sesuatu yang membentuk sesuatu yang lain.
Dengan kata lain Tuhan yang Esa ini adalah suatu yang mutlak. Tuhan yang difahami Islam bukanlah seperti faham panteisme yang menyamakan Tuhan dengan alam dan Tuhan itu wujud bersama dengan alam ini. Tuhan itu menciptakan makhluknya dan alam ini adalah makhluknya, mana mungkin Tuhan itu sama dan menyatu dengan alam yang berstatus makhluk.
Tuhan memiliki sifat-sifat yang nyata pada dirinya tetapi sifat-sifat itu bukanlah dirinya dan sifat-sifat itu juga bukanlah sesuatu yang lain dirinya. Misal yang paling mudah untuk memahaminya, kita ambil contoh Ali sebagai seorang manusia , Ali juga adalah seorang bapa, seorang guru dan seorang pemain badminton yang handal. Tetapi sifat-sifat itu bukanlah Ali yang sebenarnya dan sifat-sifat Ali sebagai bapa, seorang guru dan pemain badminton juga bukanlah sifat yang lain dari Ali itu sendiri sebagai seorang manusia.
Tuhan bukanlah seperti konsep Tuhan yang difahami oleh Aristotle sorang ahli failasuf Greek yang cukup berpengaruh dalam tamadun Barat. Bagi Aristotle, Tuhan hanyalah sebagai Penggerak Pertama (First Mover). Selepas itu, alam ini akan bergerak dengan sendiri tanpa campur tangan Tuhan lagi. Ini sangat berbeda dengan konsep Tuhan dalam Islam di mana Tuhan bertindak seperti agen bebas yang terlibat dalam penciptaan berterusan setiap detik dan dalam masa yang sama dalam penciptaan setiap detik itu, Tuhan tidak tertakluk dengan masa dan tempat yang mengubah zatnya atau mentransformasi zatnya menjadi sesuatu yang lain. Tuhan itu juga sangat suci untuk disamakan dengan tuhan yang difahami oleh Plato yang terdiri dari bentuk dan jisim (form and matter) mahupun cara penciptaan Tuhan secara emanasi seperti matahari dengan cahayanya seperti yang difahami oleh Plotinus. Sebaliknya penciptaan Tuhan adalah dengan memberikan kewujudan kepada semua realiti-realti yang telah ditetapkan oleh Tuhan dalam ilmu Tuhan (A’yan Thabitah) dengan kekuasaan dan kehendaknya Kun Fa Ya Kun dengan Tuhan mengatakan ianya jadi maka semuanya akan wujud dan terjadi.
Pendek kata, ilmu-ilmu asas kepada hakikat ketuhanan yang telah dihuraikan di atas
perlu menjadi pegangan seerat-eratnya dan digigit oleh gigi geraham supaya ianya kukuh mengakar dalam kalbu kita sebagai umat Islam. Jika ini difahami secara kukuh, pandangan alam kita kepada perkara-perkara lain seperti faham kenabian, faham wahyu, faham kebahagiaan , faham keadilan, faham kebebasan, faham agama dan faham ilmu dapat difahami dengan lebih jelas. Mudah-mudahan bulan Rejab ini akan membawa rahmat dan meneguhkan iman kita sebagai umat Islam selama-lamanya.
Mohd Jamizal Zainol Naib Pengerusi TRADISI dan Pengerusi Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia ( PEACE)
