Hakikat Konsep Malaysia Madani

Oleh: Mohd Jamizal Zainol  

Sesuatu yang menarik apabila YAB Perdana Menteri Malaysia ke-10 Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan suatu kompas dan dasar yang jelas dalam memacu pentadbiran Malaysia sekarang. Beliau telah membawa ketengah konsep Malaysia Madani yang selepas ini akan diwacanakan secara intensif dan dicerakinkan untuk diserapkan dalam pentadbiran negara terutama dalam polisi dan undang-undang negara. Bukan suatu konsep yang baru malah telah digagaskan awal lagi oleh para ahli falsafah dan cendekiawan terdahulu seperti Al-Farabi dan yang paling muassir oleh Prof. Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas sendiri. 

Prof Al-Attas dalam syarahan beliau di UKM pada tahun 1996 di mana beliau mengungkapkan Madani ini berasal dari perkataan Madinah. Suatu kalimat yang disebut di dalam Al-Quran bagi mengisahkan bagaimana Rasullullah SAW yang berhijrah ke Yathrib telah menukar nama bandar Yathrib kepada Madinah. Beliau menerangkan bahawa kata akar Madinah itu adalah berakar kepada perkataan “Deen” yang bermaksud agama. Rasullulah yang membawa mesej agama Islam menukar nama Yathrib kepada Madinah atas satu tujuan iaitu untuk mengatakan di Madinahlah di mana faham agama Islam akan “dijelmakan” sebagai dasar pentadbirannya di Madinah.

Sudah tentu pentadbiran berasaskan agama atau madani ini berbeda dengan konsep-konsep pentadbiran yang kita fahami sekarang seperti demokrasi hatta kapitalisme pekat. Madani sekaligus menolak faham sekular yang menolak asas-asas faham metafizik seperti ketuhanan, kenabian, hari akhirat , qada’ dan qadar yang terangkup ke dalam faham falsafah moral dan etika. Dalam erti kata lain Madani ialah suatu dasar pentadbiran yang berasaskan faham agama yang memeluk erat faham metafizik dengan memberikan penekanan kepada akhlak dan moral sebagai dinding tebal yang menjaga faham kita dalam perkara-perkara penting dalam bernegara hak asasi manusia, keadilan ekonomi, pembangunan mapan termasuk penjagaan alam sekitar.

Persoalan etika sangat penting dalam negara. Penting kerana ianya akan memandu pembuat polisi dan undang-undang bagi menentukan samaada polisi dan undang-undang itu itu baik. Baik itu juga menjadi persoalan sama ada baik untuk negara atau baik untuk rakyat. Inilah yang menjadi pergulatan pemikiran para ahli falsafah sejak dahulu hingga sekarang. 

Negara kita memerlukan moral kompas sendiri. Suatu moral kompas yang bersesuaian dengan negara yang jamak budaya, kaum dan Islam sebagai Agama Negara. Sudah tentu Islam menjadi panduan yang meletakkan nilai-nilai tertentu untuk ditaati oleh Kerajaan. Misalnya nilai keadilan, tidak zalim, tidak ekstrem dalam sesuatu, berjimat cermat dan banyak lagi nilai-nilai yang lain. Walau bagaimanapun, nilai-nilai ini masih subjektif dan memerlukan penaakulan dan rasional manusia untuk menentukannya. Apakah yang dikatakan adil? Kita ambil contoh undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) suatu undang-undang pencegahan yang ketika dahulu masih berkuatkuasa di Malaysia. Adakah ISA ialah suatu undang-undang adil? Ramai yang percaya bahawa ISA adalah undang-undang yang zalim kerana kerajaan boleh menahan seseorang tanpa bicara. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa ISA adalah undang-undang pencegahan bagi mengelakkan berlakunya bencana yang lebih dahsyat. Isunya pihak manakah yang boleh menentukan bahawa seseorang itu berpotensi melakukan keganasan? 

Saya percaya hanya kerajaan yang mempunyai maklumat dan risikan berkenaan keselamatan negara. Maka, kerajaan diberi kepercayaan oleh rakyat melalui ISA untuk digunakan sebagai undang-undang pencegahan bagi membendung kemusnahan yang lebih besar. Masalah pelaksanaannya yang tidak adil adalah masalah pentadbiran yang boleh diperbaiki. ISA secara ipso facto adalah undang-undang yang baik terutama dalam negara yang pluralistik dan banyak persoalan sensitif seperti Malaysia.

Ahli falsafah sentiasa cuba memecahkan persoalan etika ini sekian lama. Plato memberikan pandangan bahawa Athens jatuh akibat daripada sifat skeptikal pada persoalan etika oleh para Sofis yang percaya kepada nilai-nilai yang subjektif. Sebenarnya kita adalah produk kepada masyarakat di sekeliling kita. Nilai-nilai diri kita dibentuk oleh masyarakat dan negara kita. Aristotle mengatakan manusia secara fitrahnya ialah binatang politik kerana manusia itu memerlukan masyarakat dan tidak berupaya untuk hidup bersendirian. Mahu tidak mahu nilai dirinya akan dipengaruhi oleh masyarakat. Manusia dari semasa ke semasa akan sentiasa berfikir dan merenung adakah nilai-nilai moral yang ada pada dirinya adalah sesuatu yang dipercayainya atau dibentuk oleh masyarakat sekeliling. Inilah persoalan moral dan etika yang sentiasa bermain dalam fikiran manusia. 

Saya juga boleh bersetuju dengan pandangan seorang ahli falsafah Jerman Hegel yang mengatakan kehidupan moral kita boleh dibangunkan oleh kita sendiri hanya dengan berperilaku sesuai dengan prinsip moral yang diterimapakai oleh masyarakat kita sendiri dan dalam insititusi yang telah dibina. Kehidupan moral kita adalah sama dengan kepercayaan, tujuan peribadi, dan falsafah kita sendiri. Kita adalah seorang pengembang budaya di dalam kehidupan politik dan ekonomi serta dalam institusi agama dan sistem nilai masyarakat kita. Nilai moral dalam negara bangsa sahaja yang memberikan nilai moral yang sebenarnya. Dalam hal ini, Malaysia mempunyai nilai moral sendirinya iaitu prinsip-prinsip moral dan etika yang digariskan oleh Islam kerana Islam ialah Agama Negara.

Apabila wujudnya konsep bernegara, maka negara juga akan berfungsi untuk menentukan samaada sesuatu itu secara undang-undangnya betul atau salah. Dalam hal ini, undang-undang dan moral adalah dua tajuk atau maudu’ yang berlainan. Permasalahan pertama ialah pertentangan antara masalah etika yang terbentuk oleh nilai masyarakat dan etika yang dibentuk oleh diri sendiri. Permasalahan etika bermula dengan masalah ini. Cuba kita bertanya diri kita tentang persoalan ini. Saya tahu bahawa membunuh itu salah. Adakah kita tahu bahawa membunuh itu salah atau kita percaya membunuh itu salah? Persoalannya adakah kita tahu? Atau kita percaya? Saya ingin bertanya soalan lagi bolehkah jika kita katakan bahawa persoalan moral itu sebenarnya dibentuk oleh diri kita sendiri?

Dua bentuk nilai etika dan moral yang saya dapat kategorikan di sini ialah masyarakat yang mempercayai moral yang relatif atau moral yang objektif dan absolut. Masyarakat yang berpegang kepada moral yang relatif percaya nilai moral itu pelbagai dan bergantung kepada masyarakat setempat, budaya dan negara. Misalnya dalam masyarakat yang berpegang kepada nilai feminisme dan esktrimis agama mempunyai pandangan yang berbeza terhadap isu pengguguran. Jika semua nilai moral itu bersifat relatif ini sudah tentu menimbulkan kerisauan. Kerisauan kerana kegagalan untuk menentukan yang mana satu yang benar dan yang mana satu pandangan dan nilai moral yang salah? Ini menimbulkan kerungsingan pada ahli falsafah yang percaya nilai moral mesti ada yang objektif. Saya ambil contoh semua masyarakat percaya mengorbankan bayi itu adalah salah. Cuma yang bahayanya nilai moral yang objektif bagi sesetengah ahli falsafah ialah akan adanya suatu kuasa budaya yang akan menetapkan sendiri nilai moral tersebut ke atas semua manusia. Akibatnya, kuasa ini akan memonopoli nilai moral yang “benar”.

Inilah antara persoalan-persoalan etika yang menjadi cabaran untuk dicerakinkan oleh bijak pandai selepas ini bagi mengukuhkan lagi konsep Malaysia Madani. Perdana Menteri telah membawa ke medan umum suatu gagasan yang besar tetapi percayalah gagasan yang besar tidak akan bermakna jika hakikat gagasan itu tidak dapat difahamkan dengan setuntasnya kepada pembuat dasar khususnya dan masyarakat umum. Namun ini adalah permulaan yang baik bagi mengejutkan masyarakat tentang peri pentingnya etika dan moral dalam kehidupan seorang manusia yang bernegara.


Mohd Jamizal Zainol Naib Pengerusi di Tradisi dan Pengerusi Yayasan Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia ( PEACE)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top