Deprecated: Function WP_Dependencies->add_data() was called with an argument that is deprecated since version 6.9.0! IE conditional comments are ignored by all supported browsers. in /home3/tradisim/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170

Renungan Atas Cahaya Kekal (2)

 Oleh: Syazreen Mohd  

Cahaya akal tidak mampu menembusi pada pemikiran yang jahil dan hati yang zulumat. Kesombongan dan kejahilan ini pernah ditunjuki orang-orang jahiliyah sewaktu menepis risalah kewahyuan. Sikap istikbar mereka ini menutupi ruang ilm atau disebut pengetahuan yang dapat meluapkan kejahilan ini. Sikap ilm sebaliknya dapat mengawal segala nafsu kebinatangan yang menguasai diri kejahilan. Sikap pengetahuan ini dapat mengendalikan ketenangan dalam diri seseorang. Justeru, pengetahuan tidak wujud tanpa dari pancaran cahaya akal tersebut. Bahawa sikap ilm ini memancarkan manifestasi waqar yakni sikap yang teguh dan gagah. Sudah tentu sikap ini berlawanan dengan manifestasi dari sikap jahl yang memancarkan sikap zulm atau keganasan.

Kejahilan ini tidak menampakkan dan ketidakmampuan untuk memahami kehendak Tuhan disebalik alam dan gagal mencerap sisi transenden ilahi yang menzahirkan bentuk manifestasiNya. Bagi orang jahil, segala peristiwa cuma sekadar peristiwa yang tidak punya simbol terhadap sesuatu. Ketidak temuan cahaya akal lalu menjadikan diri dan jiwanya buta dan tuli dalam memahami ayat-ayat bayyinat “bukti – tanda-tanda” terhadap kebenaran agama. 

Dan jika Kami turunkan malaikat pun kepada mereka, dan orang-orang yang mati (hidup semula lalu) berkata-kata dengan mereka, dan kami himpunkan pula tiap-tiap sesuatu di hadapan mereka (untuk menjadi saksi tentang kebenaran Nabi Muhammad), nescaya mereka tidak juga akan beriman, kecuali jika dikehendaki Allah; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat yang sebenar).

Kemuncak cahaya tertinggi itu terbuka pada hati paling tinggi dikehendaki-Nya. Ruhaniah yang diberikan Allah SWT kepada setiap manusia atau jiwa berfikir. Sebagaimana pohon kayu zaitun diumpamakan kekuatan berfikir pada manusia itu telah menghasilkan minyak-minyak lampu akal ruhaniah yang cukup kuat dalam menerangi kehidupan. Kemudian ia hadir dalam kesediaan hati untuk menerima pencahayaan tersebut. Seperti  seseorang itu telah mempersiapkan diri, jiwa dan raganya untuk meraih pencahayaan dari langit. Seiring kehendak mutlak-Nya atas sesuatu sejak azali. Maka kesempurnaan itu terlaksana apabila terjadinya sesuatu limpahan dan curahan “Rahmat” atau cahaya dari langit kepada hamba-Nya di bumi. Melalui perjalanan kerohanian tersebut lalu menembusi cahaya dari hati sekali gus mata batinnya. Namun, seandainya hati itu tidak diletakkan pada posisi kesediaan (isti’dad) nya pada ketetapan Lauhul Mahfuz, maka ia tidak akan menggapai posisi tersebut walau sebaik dan salehnya hati itu dalam mengerjakan amal saleh. 

Ketidaktepatan dalam posisi yang benar ini seperti seseorang yang melaksanakan solat tanpa kerohanian hakiki. Jasmaninya yang solat. Bukan hatinya. Sebaliknya ia terus dalam rasa was-was dari Syaitan. Hal ini menandakan bahawa ketidaksiapan hati itu untuk memahami kerahsiaan-kerahsian dan tanda-tanda horizental yang halus dari ketuhanan melalui jalan mengenali asma’ dari-Nya. Kerana hal-hal ini akan menggangu atau menjadi halangan kepada seseorang untuk mendapatkan kasyaf yang hakiki. Justeru, Tuhan menghadirkan cahaya berdasarkan kepada tingkatan-tingkatan kerohanian daripada hamba-Nya yang sudah siap untuk menerima limpahan suci dari langit. Hal ini disebut oleh Ibn Arabi sebagai penerima (Fayd Muqaddas) limpahan suci dari wujud mutlak (Fayd Aqdas) 

Sesungguhnya hakikat cahaya kebenaran itu dapat dicapai oleh kalangan khusus. Yang benar-benar menggapai pencahayaan tersebut dari mata batinnya – Pengalaman kerohanian. Sebagaimana disebutkan dalam firman Allah SWT bahawa ia adalah tanda kepada pertumbuhan yang benar-benar sempurna yang mana dicapai dari pengalaman kerohanian – ahl kasyf.

 “Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna

Makna “seungguh-sungguh sempurna” itu menandakan kepada kesiapan atau kesediaan hati hamba-Nya dalam menuruti perintah sehingga benar-benar mencintai dan mengenali cahaya ilahi sehingga kesempurnaan itu terpancar hasil dari mata batinnya itu iaitu “bashirah” Maka dengan itu segala penyingkapan kerahsiaan ilahi terungkap pada cahaya akal – ketajaman dari mata batin. Itulah pengetahuan yang terpancar dari pantulan kebenaran hakiki sekali gus ia menjadikan segala tindakan yang terhasil berada dalam rahmat dan petunjuk ilahi. 

Demikian dalam diri manusia itu mempunyai suatu mata yang sempurna. Ia tidak dibuka kepada semua manusia melainkan kesediaan seseorang itu untuk menerimanya. Hal inilah disebut sebagai ketajaman mata batin – Basyirah. Yang memiliki sifat sempurna. Ia disebut sebagai mata yang mempunyai akal, ruh dan jiwa manusia.  

“Telah kami buka hijab yang menutupinya dan kini penglihatanmu sungguh tajam.” (50;22) 

Suatu renungan yang telah dihadirkan dengan sinar pencahayaan dari langit. Seperti mata inderawi yang tidak boleh menembusi hal-hal jauh dan dekat, tetapi cahaya akal ini mampu bergerak bebas sehingga dapat menggapai sekitar singgahsana ilahi atau di alam malakut.Ia mampu naik kemuncak langit tertinggi. Kemuncaknya adalah menggapai hakikat kebenaran wujud Tuhan. Kerana itu ia dapat dimiliki oleh kalangan tertentu. Yang sedikit. Imam al-Ghazali kitabnya Misykat al-Anwar mengkategorikan beberapa golongan dalam mentakrifkan kefahaman terhadap pancaran cahaya yang meliputi orang-orang awam, orang khusus dan orang paling tertinggi darjat ketakwaannya disebut sebagai golongan khawasul khawas. Maka pancaran cahaya itu mempunyai lafaz yang sama tetapi makna dan pantulan yang berbeza mengikut kelas derajat tingkatan kerohanian seseorang.

Justeru kata cahaya itu berkembang dan berbeza mengikut pengertian yang banyak. Maka, golongan terakhir dan paling kemuncak inilah yang dikatakan al-Ghazali sebagai khawasul khawas adalah orang-orang yang telah menerima limpahan cahaya akal ilahi dan dibukakan pintu hijabnya. Mereka mewakili Tuhan di alam ini yang memancarkan cahaya paling tertinggi sekali gus memanifestasikan sifat ilahi sebagai tugas hamba dan manusia yang diberikan kurniaan limpahan hikmat ilahi daripada-Nya. 

Cahaya Akal sebagai hikmah ilahi (Devine Intelligence) 

Berikutan itu, sedikit dari mereka yang menyedari bahawa tentangan dunia moden pada hari ini mengenai masalah-masalah kekeliruan dalam pengetahuan yang tidak pantas dapat dijawab dengan penafsiran rasional dan pandangan pengetahuan melalui daya inderawi semata-mata dalam menyingkap kebenaran. Seseorang harus membezakan penggunaan akal dan logika dengan rasionalisme yang menjadikan akal sebagai satu-satunya kriteria untuk menilai kebenaran. Jika rasionalisme sebagai upaya membangun suatu sistem didasarkan atas akal sahaja maka hal ini sudah lama dimulai oleh Descartes. Ia merujuk ego manusia bukan intelek ilahi. (Cogito ergo sum) Tetapi tidak dalam tradisi keislaman yang merujuk kepada kembali kepada fitrah iaitu keislaman yang hanif. Sikap tunduk dan patuh sekali gus membuang sikap fanatisme yang menutupi jalan pengetahuan ilahi. Kerana pantulan cahaya ilahi itu hanya mampu dicapai oleh hati dan jiwa yang suci. Lihatlah hasil kebijakan dan pencerahan orang-orang di barat yang tertanamnya rasionalisme abad 17 ialah dengan bangunan pencakar langit moden namun demikian karya mereka lahir kerana kurangnya pengertian transenden ilahi. Sebaliknya cahaya akal mengikat manusia  kepada kebenaran tuhan sendiri. 

Cahaya akal lah yang memandu manusia ke jalan yang lurus dan mencegah dari kesesatan. Dalam al-Quran bahawa orang yang gagal memaknai akalnya seringkali terjerumus ke lembah kesesatan. Maka, pengetahuan atau ilmu (al-ilmu) yang menjadikan manusia mengenal dan kembali kepada Tuhan melalui keluasan mata batin dan sinarnya cahaya dalam hatinya sekali gus minda intelek ilahi itu mampu memancarkan sikap-sikap rahmat dan kemanusiaan dalam kehidupan. Justeru, intelek alat untuk mendapatkan jenis pengetahuan yang suatu ketika merupakan sumber wahyu dan timbul secara mikrokosmos dalam diri manusia. Aql adalah intelectus atau nonus dan ratio atau fikiran.Ia serupa matahari luhur menyinari batin manusia dan pancaran matahari inilah pada dataran jiwa yang kita sebut sebagai hikmah fikiran ilahi (DevineIntelligence). 

Akhirnya dengan itu, seseoarang dapat bergerak dari pancaran sumbernya yang sesekali menunjukkan bahawa aql tak tergelapkan oleh nafsu dan ia menunjukkan bahawa ia merupakan intelek yang segar, seimbang dan selaras – al-aql al salim. Namun jika aql dikaburkan dengan nafs maka ia akhirnya berakhir dengan menjadi tirai yang menutupi manusia dari tuhan dan membawa kepada kesesatan. Maka wahyu tidak diperlukan lagi. Sesungguhnya apa yang boleh dihidupkan dan dipelihara kembali adalah suatu pandangan hidup yang menyeluruh khususnya unsur metafizika yang memiliki akar yang tersingkap di dalam alQuran (ruh mahfuz) dan menurunkannya dari cahaya intelek – suatu cahaya yang demikian terikat dengan al-Quran baik sumber atau kandungannya. 

Demikian, dalam cahaya kearifan ini bahawa seseorang itu dapat menghidupkan suatu falsafah pandang alam tentang kehidupan manusia, alam dan adab bagi meletakkan sesuatu neraca kebenaran. 


 Syazreen Mohd, Pengasas TRADISI. 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top