Hakikat Kenabian Muhammad SAW

Oleh: Mohd Jamizal Zainol  

Setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul bagi mengenang jasa Nabi Muhammad SAW dalam membawa Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam. Maulidur Rasul menandakan ingatan kita pada waktu dan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ianya bukan bermaksud sambutan kelahirannya seperti yang diamalkan oleh agama-agama lain. Jika ianya suatu sambutan seolah-olah Muhammad SAW hanya diingati hanya pada hari lahirnya sahaja. Walhal Muhammad SAW sepatutnya diingati sepanjang waktu.

Mengenang jasa Muhammad S.A.W bukan sahaja memahami sejarah perjuangannya membawa Islam sepanjang hidupnya , tetapi perlu memahami (acknowledge) dan mengiktiraf (recognize) hakikat kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW itu sendiri.

Muhammad SAW itu manusia sempurna (Insan Kamil) yang mempunyai keistimewaan zahir dan batin yang dianugerahkan Allah SWT. Kesempurnaan Muhammad SAW bukanlah terletak pada fizikal sahaja tetapi terletak pada ilmu pengetahuan baginda kepada perkara-perkara metafizik yang tidak mampu dicapai oleh pancaidera dan akal. Ilmu Muhammad SAW mengenai Tuhan, syurga dan neraka, kehidupan selepas kematian, baik dan buruk, perkara yang telah berlaku dan akan berlaku adalah kesempurnaan pengetahuan yang ada pada baginda nabi.

Baginda memahami hakikat Wujud secara yakin dan keyakinan itu adalah keyakinan yang benar dan sebenar (Haqqul Yaqin). Fazlur Rahman dalam karyanya Prophecy in Islam: Philosophy and Orthodoxy mengambil pandangan Al-Farabi seorang ahli falsafah Islam yang mengatakan kebolehan seorang nabi dan rasul untuk menerima wahyu apabila jiwanya berhubung dengan Akal Aktif (Active Intelligence). Akal Aktif ini ialah Akal yang diciptakan Tuhan di alam metafizik yang mengandungi segala bentuk dan zat-zat yang tetap bagi setiap sesuatu yang berpotensi untuk diciptakan ke dalam dunia fizikal. Seorang nabi menerima cahaya terus dari Akal Aktif yang membolehkan seorang nabi mampu menerima sesuatu ilmu dan wahyu melalui jiwa dan hatinya tanpa melalui proses dan bantuan luar dalam memperolehi ilmu dan wahyu. Ada yang mengatakan Akal Aktif ini ialah Jibrail a.s.

Malah, Muhammad SAW bukan sahaja menerima wahyu malah tahap keyakinannya berada pada kedudukan (maqam dan ahwal) yang tertinggi (Haqqul Yakin) kerana baginda mengetahui hakikat Tuhan itu melalui pengalamannya sendiri di Isra’ dan Mikrajkan oleh Tuhan untuk naik ke langit dan bertemu Tuhan secara jasad dan ruh di Sidratul Muntaha. Inilah antara kelebihan Muhamamd SAW yang tidak diperolehi oleh nabi dan rasul yang lain.

Muhammad SAW itu adalah penutup kepada semua nabi dan rasul. Baginda membenarkan segala ajaran yang disampaikan nabi dan rasul terdahulu. Mesej utama yang di bawa oleh semua nabi dan rasul ialah pengiktirafan kepada keesaan Tuhan melalui penyerahan sepenuhnya kepada keesaan Tuhan ini melalui kepatuhan dan ketaatan kepada apa yang disampaikan baginda melalui Al-Quran.

“Bukanlah Nabi Muhammad itu menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”(Al-Ahzab: 40)

Tugas utama Muhammad SAW itu mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Muhammad SAW sendiri diibaratkan sebagai lampu yang bercahaya kerana baginda mampu menyampaikan hakikat kewujudan kepada seluruh manusia.  Baginda menerangkan hakikat setiap sesuatu benda terutama kepada perkara-perkara yang tidak boleh diungkap oleh pancaindera dan akal. Baginda membenarkan keesaan Tuhan yakni Allah dan membunuh tuhan-tuhan palsu. Baginda menerangkan apa yang baik dan buruk, dengan harapan manusia mengerti yang mana baik dan buruk supaya akhlak manusia menjadi sempurna. Baginda menolak sesuatu yang nisbi dan subjektif kerana setiap perkata itu ada kebenarannya. Ilmu tidak bertitik tolak dari keraguan malah ianya berpunca dari ilmu yang sebenar. Ilmu yang sebenar hanya diperolehi melalui akal yang jernih, pancaindera dan ilham yang tidak bertentangan dengan wahyu. 

“Dengan mengutuskan seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang beriman dan beramal soleh-dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya.” (At-Talaq:11)

Muhammad SAW ialah bukti kasih sayang Tuhan terhadap makhluknya. Ini dinyatakan dalam Al-Quran:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”

(Al- Anbiya :107) 

Secara jelas ayat di atas menyatakan Muhammad SAW bukan hanya diutus sebagai rahmat kepada manusia tetapi juga kepada alam yang lain termasuk alam binatang, alam mineral, dan alam tumbuhan, alam malaikat, alam jin, alam planet-planet dan kesemua alam yang wujud secara fizik atau metafizik.

Bukan itu sahaja Muhammad SAW ialah bukti pertolongan Allah kepada Ahli Kitab yang belum mempercayai kenabiannya. Ini dinyatakan dalam Al-Quran:

“Hai kaumku, masuklah ke tanah suci (Palestina) yang telah ditentukan Allah bagimu, dan janganlah kamu lari kebelakang (karena takut kepada musuh), maka kamu menjadi orang-orang yang merugi.”(Al-Maidah: 21)

Ayat ini secara jelas menunjukkan Ahli Kitab banyak dibantu oleh Allah SWT dalam memastikan survival mereka di atas muka bumi ini. Buktinya Al-Quran yang diwahyukan kepada Muhammad SAW membenarkan kenyataan ini. 

Hanya Muhammad SAW makhluk Tuhan di mana Tuhan dan para malaikat memuji dan berselawat dan merahmatinya sebagai sehebat-hebat manusia.

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab:56)

Kita memuji Muhammad SAW kerana terhasil daripada kecintaan, hormat dan penghargaan kita kepadanya kerana mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Pujian kepada baginda bukan tertumpu kepada waktu dan tempoh tertentu tetapi sepanjang zaman, setiap masa, setiap generasi dan setiap detik tanpa penghujungnya. Malah baginda itu sentiasa dekat dengan diri kita

Kita mencontohi dan patuh kepada kata-katanya (qawl) dan segala perbuatannya (fi’l) dan diamnya dalam membenarkan sesuatu (taqrir), Baginda adalah model par excellence kepada manusia sepanjang zaman samaada bagi mereka yang muda, dewasa atau tua. Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas dengan adanya baginda, umat Islam tidak menghadapi krisis identiti kerana pada setiap tahap umur kita mempunyai contoh yang tetap melalui kata-kata dan perbuatannya. Ini berbeda sekali dengan Barat yang sentiasa menghadapi krisis indentiti antara generasi kerana mereka tidak mempunyai suatu model yang tetap untuk diikuti kehidupannya.

Marilah kita memahami hakikat kenabian Muhammad SAW secara tuntas dan menyeluruh supaya kecintaan kita kepada Muhammad SAW bukan hanya pada zahirnya sahaja tetapi kepada keistimewaan batin yang tertancap pada diri baginda. Baginda adalah Insan Kamil atau Insan yang sempurna kerana suatu sebab yang utama iaitu ilmu Haqqul Yakin yang diperolehi baginda pada perkara-perkara metafizik yang mampu memahami hakikat Wujud dan hakikat Ketuhanan yang benar dan sebenar (Al-Haq) yang mengeluarkan manusia dari keraguan, kegelapan dan kesesatan. 


Mohd Jamizal Zainol Penyelidik di Tradisi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top