
Oleh: Firuz Ramli
1- (Tuhfatul Muluk Quftarhoye Darbore Hikmat Siasi ) yang bermaksud Buah Pemerintahan iaitu kata-kata nasihat tentang hikmah siasah adalah karya yang kedua ditulis oleh Syed Jaafar Daraabi Kashfi (1191-1267 Q) mengenai politik sebelumnya karya yang pertama beliau adalah
میزان الملوک و الطوائف وصراط المستقیم فی سلوک الخائف
Karya ini ditulis adalah atas permintaan dari pemerintah Dinasti Qajar iaitu Muhammad Taqi Merza Hisam Sultanah (1206-1278 HQ). Syed Jaafar Kashfi mendapat gelaran Kashfi (menyingkap rahsia) kerana dia dikenali memiliki ilmu kashaf dan oleh itu gelaran tersebut sinonim dengan namanya. Beliau lahir di Ehtabanat iaitu disuatu wilayah parsi kemudian menyambung pengajiannya di Najaf Iraq.
Di Najaf beliau menjadi murid kepada Syed Muhamad Bahrul Ulum (1155-1212 H.Q) seorang ulama besar syiah di Najaf. Selepas Pemerintah Abdulaziz bin Muhammad dari Arab Saudi menyerang kota Najaf dan Karbala, Syed Jaafar Kashfi pulang ke negara asalnya iaitu Iran.
2 – Dalam tradisi falsafah kuno, ilmu akhlak adalah muqadimah bagi ilmu politik iaitu asas binaan bagi ilmu politik adalah ilmu akhlak dan seorang filusuf akan membina ilmu siasah itu dengan nilai-nilai akhlak yang telah dibincangkan dalam ilmu tersebut.
Sebagaimana akhlak adalah ilmu mentadbir individu manakala siasah ilmu mentadbir masyarakat yang mana ia dibina dan dibentuk untuk memandu dan memimpin masyarakat berada dilandasan yang benar dan menuju kepada kebahagian sama ada dunia dan akhirat.
Menurut Kashfi, masyarakat tanpa kerajaan ibarat badan yang tidak sihat kerana tidak memiliki keseimbangan mizaj maka akan mendorong badan mudah mendapat pelbagai penyakit. Seni dalam pemerintahan ini adalah memberi keseimbangan mizaj pada badan iaitu masyarakat dan negara mendapat kebahagian hidup sama ada dunia dan akhirat.
3 – Kashfi mengikut jejak langkah filusuf yunan, ketika menulis mengenai siasah atau pemerintahan akan membahagikan kepada dua bahagian pro dan kontra iaitu pemerintahan baik dan pemerintahan buruk sebagaimana Aristotle di dalam karyanya Politics membahagikan kepada aristocracy dengan oligarchy, begitu juga dengan Al-Farabi dan Akhlak Naasiri oleh Tusi membahagikan kepada Fadhilah dan bukan Fadhilah. Kashfi membahagikan pemerintahan Hak dengan batil, iaitu pemerintahan Hak adalah fadhilah manakala pemerintan batil adalah jahil.
Penulisan Kashfi ini kita boleh lihat dari sudut perspektif falsafah klasik terhadap politik pada ketika itu iaitu pemerintahan barat baru menjajah pemerintahan islam yang berkhilafah Uthmaniah dan pertembungan dinasti Qajar yang mewakili Syiah dengan Uthmaniah yang mewakili Sunni.
4 – Kitab Tuhfatul Muluk ini ditulis pada tahun 1233H.Q memiliki 3 pembahagian perbahasan dengan satu bahagian penutup. Pada setiap bahagian memiliki fasal dan setiap fasal itu dinamakan sebagai Tuhfah (buah nasihat) bahagian pertama menceritakan tentang hakikat akal dan yang berkaitan dengannya kerana kashfi menyakini bahawa makhluk yang pertama diciptakan oleh Allah swt adalah akal manakala jahil terlahir dari perlawanannya dari akal. Falsafah kelahiran jahil adalah bertujuan untuk mengenali akal sebagaimana disebutkan dalam kaedah “تعرف الأشیاء بأضدادها” iaitu mengenali sesuatu dengan lawannya.
Bahagian kedua menceritakan tentang mahiyah atau hakikat zat aqal tersebut dan kewujudan-kewujudan yang berkaitan dengannya seperti kesan dan sifat-sifat yang terdapat dari akal tersebut.
Setelah itu Kashfi mengkaji dan membincangkan ilmu mentadbir rumahtangga dan dan siasah. Dalam pentadbiran ilmu siasah, Kashfi membincangkan kewajipan mempelajari ilmu siasah seperti wajibnya tertubuhnya daulah dan jenis-jenis yang berkaitan dengannya, pembahagian tugas pemerintah dan rakyat dan semua ilmu itu berdasarkan dan berpijak pada ilmu akhlak.
Dan akhir sekali Kahsfi menganalisa hubungan politik antara kerajaan Qajar Iran dengan Uthmaniah Turki serta nasihat-nasihat diberikan dalam menjaga politik antara keduanya termasuk hal-hal peperangan.
Firuz Ramli, Penyelidik di TRADISI