
Terma tradisi dalam konteks kefahaman wacana ini adalah sesuatu yang sakral. Seperti disebutkan oleh sarjana Islam Syed Hossein Nasr bahawa tradisi itu hal yang disampaikan kepada manusia melalui wahyu maupun pengungkapan dan pengembangan peranan sakral itu di dalam sejarah kemanusiaan tertentu. Ia memaksudkan hal yang mengimplikasikan baik kesinambungan horizontal dengan sumber maupun mata rantai vertikal yang menghubungkan dengan realiti transenden meta-historikal. Tradisi boleh jadi ad-din yang mencakupi semua aspek agama dan cabangnya.
Menurut Hossein Nasr lagi ia juga boleh disebut as-ssunah iaitu apa yang didasarkan pada model-model sakral dan juga diertikan sebagai as-silsilah iaitu rantai yang mengaitkan setiap peristiwa atau kehidupan pemikiran di dunia tradisional kepada sumber seperti di dalam sufisme. Kerana menurutnya, tradisi seperti mirip sebuah pohon, akar-akarnya tertanam melalui wahyu di dalam sifat ilahi dan darinya tumbuh batang dan cabang-cabang sepanjang zaman. Di pohon tradisi itu jantungnya berdiam agama dan saripatinya dari barakah bersumber wahyu dan memungkinkan pohon itu terus hidup. Justeru, Tradisi berbekalkan kebenaran yang kudus dan bijaksana abadi dalam menerapkan unsur universal lagi manusiawi serta menghidupan penzahiran cahaya ilahi dalam pelbagai ruang dan situasi waktu.
Maka dewasa ini, dalam kehidupan moden bahawa pemaknaan dan pemahaman mengenai tradisi harus terus disuburkan hidup sehingga kita menemukan pintu kebahagian hakiki dan jalan hidup damai di tengah kesesakan kepelbagaian ragaman budaya dan agama.
Malangya, kemodenan dan kemajuan pada hari ini melupakan akar pohon yang harusnya disuburkan sehingga kemajuan dan kemodenan sepatutnya membenihkan sifat-sifat universal seperti kemanusiaan tetapi berbalik kepada sifat keganasan, ekstremis dan melampau batas dalam segala sudut hal kehidupan.
Memahami pentingnya proses pemaknaan ini dalam memupuk kesedaran kemanusiaan, toleransi dan kedamaian dalam wacana agama, maka Tradisi dengan kerjasama Toko buku Pujangga Baru mengatur program syarahan umum ilmiah yang akan disampaikan oleh Prof Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar sebagai narasumber dalam siri syarahan bulanan pada 9hb September 2022 di atas talian. Program ini diatur khusus untuk menyatukan semangat kebersamaan dan sikap saling rahmah serta memupuk toleransi dalam beragama.