Mencapai Kebahagian Hidup Dengan Pengkajian Metafizik

Oleh: Mohd Jamizal Zainol

Manusia di dunia pasca moden, telah hilang arah dan makna. Kehidupan menjadi kacau bilau dan melelahkan. Manusia menjadi ganas, hilang pertimbangan dan hilang empati. Peperangan, rasuah, membunuh diri dan cinta maddiyah (materialisme) yang menebal adalah penyakit yang semakin membungkam manusia masani.

Ini berpunca daripada kehilangan makna kepada hakikat kehidupan. Manusia cuba mencari kebahagian melalui harta benda atau kesedapan jasmaniah atau pengiktirafan pangkat dan gelaran semata-mata. Melihat kehidupan dunia sebagai tragedi penuh dengan penipuan dan tipu daya. Percaya manusia perlu menjadi “ubermensch”, manusia superman yang perlu mencari potensi tertinggi manusia bagi menghadapi tipu daya dan cabaran dunia bagi menentukan kehidupan sendiri sehingga melupa dan membunuh “Tuhan”. Tidak lagi percaya adanya hari pembalasan di alam selepas dunia, tetapi semuanya mesti dihadapi dan dinikmati sekarang. Memeluk erat faham sekular yang percaya kepada semua perkara bersifat subjektif dan nisbi.

Untuk itu, manusia ribuan tahun telah mencari makna kebahagiaan tertinggi dan kebaikan terbaik dalam kehidupan dan potensi tertinggi boleh dicapai manusia (summum bonum). Jiwa manusia resah gelisah mencari-cari dalam gelap tentang makna kebahagiaan. Kebahagiaan terletak kepada satu perkataan iaitu Keyakinan (certainty). Keyakinan kepada apa? Kebahagiaan tercapai apabila jiwa dan akal rasional mencapai tahap keyakinan kepada kebenaran dan kenyataan metafizik seperti hakikat ketuhanan, hakikat penciptaan, hakikat ilmu dan sebagainya. 

Melalui pengkajian metafizik sahajalah manusia akan menemui kebahagiaan sebenar! Ini bukan perkara yang asing kerana manusia terdiri daripada jasad dan jiwa. Jasad yang kenyang tetapi jiwa yang lapar masih membuatkan manusia menjadi gelisah dan kelam. Hakikat kebahagiaan sebenar bagi manusia ialah kebahagiaan yang dicapai oleh jiwa. Inilah yang membezakan manusia dengan haiwan. Jika hanya kesedapan jasmaniah yang dicari apa bezanya manusia dengan haiwan!

Justeru, pengkajian metafizik penting bagi setiap manusia bagi mencapai kebahagiaan sebenar. Pertamanya, perlu difahami asas pengajian metafizik. Kita perlu memahami letak duduk ilmu metafizik ini dahulu sebelum menyentuh isu-isu yang dibahaskan di bawah tajuk besar Metafizik. Metafizik bukanlah mengkaji metafizik itu kosmologinya tebal atau nipis. Yang tebal itu bermasalah yang nipis itu terbaik. Yang tebal itu Neo-Platonisme dan yang nipis itu Ashairah. Apatah lagi dengan memukul rata asal nampak berlapis kosmologinya itu Neo- Platonisme. Neo-Platonisme itu sesat.  Bukan, bukan itu perbahasannya.

Metafizik ialah perbahasan ontologi, kosmologi dan psikologi. Apa itu ontologi? Ontologi ialah pengajian tentang Realiti, Kejadian (Being) dan Kewujudan (Existence). Kosmologi ialah pengajian tentang alam semulajadi (tabiah) termasuk perbincangan tentang unsur (matter), ruang (space) dan masa (time) sesuatu evolusi, sains dan pengetahuan tentang dunia. Psikologi pula ialah penelitian tentang masalah jiwa (soul) dan jasad (body) and kesan metafiziknya kepada moral, etika dan agama.

Jika mengikut tradisi Islam, pengkajian metafizik perlu meluas merangkumi perbahasan ahli falsafah, ahli Sufi dan ahli Kalam. Menurut Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam karyanya Prolegomena to the Metaphysics of Islam memerikan bahawa pengkajian metafizik adalah pengkajian pandangan tentang Kewujudan yang Hak dan Realiti menurut Islam. Ianya mesti merangkumi kehidupan di Dunia ini dan juga di Akhirat (inilah yang dikatakan hal-hal ghaib atau As- Sam’iyyat seperti syurga dan neraka). 

Pengkajian metafizik dalam Islam mesti menjawab persoalan (1) Hakikat Ketuhanan (2) Hakikat Wahyu (3) Hakikat Penciptaan (Creation) (4) Hakikat Manusia (5) Hakikat Jiwa (Soul) (6) Hakikat Ilmu (7) Hakikat Agama (8) Hakikat Kebebasan (Freedom) (9) Hakikat Nilai dan Kebaikan (Values and Virtues) dan (10) Hakikat Kebahagiaan.

Kendatipun begitu, pengkajian metafizik mesti berdasarkan Tauhid yakni Tuhan yang Esa sebagai tunjang dan titik tengah perbahasan. Pengkajian metafizik tidak boleh hanya melalui perspektif-perspektif falsafi atau hanya dengan perspektif kalam atau hanya menerusi perspektif Sufi. Dengan pengkajian yang berpecah-pecah ini pengkaji-pengkaji Muslim terbelenggu oleh polemik tiada kesudahan ratusan tahun berkenaan isu sebab-akibat (causality), keterlibatan Tuhan dalam menentukan sesuatu (occasionalism) dan kewujudan konsep tertentu di alam metafizik (universalism) yang mengakibat kesan yang negatif kepada umat Islam antaranya isu kafir mengkafir antara satu sama lain dan ekstremisme.

Pengkajian Metafizik mestilah bersepadu melihat semua kekayaan khazanah intelektual Islam dalam hal Metafizik dan membawa kepada suatu bentuk kesatuan dan keluasan pandangan alam (worldview) dalam Islam. Dalam hal ini semua tokoh Islam dalam tradisi Falsafah, Sufi dan Kalam mesti dibaca, dikaji dan dihadami. Tokoh-tokoh seperti Ibn Sina, Al-Farabi, Al-Ghazali, Fakhrudin Al Razi, Al-Iji hatta Mulla Sadra, Suhrawardi, Rumi dan Ibn Arabi perlu di teliti dan dikaji supaya berlakunya kesatuan pandangan dalam hal-hal metafizik bagi membentuk pandangan Islam yang tuntas dalam hal-hal metafizik. Semua tokoh ini seorang Islam dan percaya kepada Tuhan yang Esa dan sudah tentu ahli dan berautoriti dalam tradisi masing-masing kerana idea-idea mereka masih dirujuk oleh para ilmuwan sehingga ratusan tahun.

Mengapa pengkajian Metafizik penting terutama dalam zaman edan sekarang? Pengkajian Metafizik penting dalam Islam kerana metafizik bukan hanya ditaakul melalui akal dan pengalaman pancaindera tetapi menaakul perbahasan di dalam agama mengenai realiti dan kebenaran seperti dinyatakan dalam Al-Quran. Ini termasuklah persoalan Lauhul MahfuzQada’ dan QadarArasy dan Qalam yang dinyatakan dalam Al-Quran. Adakah kita tidak berfikir mengapa ianya dinyatakan dalam Al-Quran? Nah, apabila ianya dinyatakan dalam Al-Quran maka ianya harus dikaji dan ini membuktikan bahawa pengkajian metafizik mesti selari dengan Al-Quran. 

Faham metafizik yang betul penting kerana tindakan yang betul (right action) hanya dapat dicapai jika ia selari,sepadan dan disahkan dengan realiti Ontologi dan logik kebenaran. Ontologi di sini bermaksud realiti setiap sesuatu (haqa’iq al-ashya’) yang telah ditetapkan setegap-tegapnya dalam Ilmu Tuhan yang dikenali sebagai al-ayan al-thabitah.Tindakan yang betul (right action) itu nanti akan memastikan kita sentiasa beradab. Adab ialah kebolehan meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan hakikat sesuatu. Dengan adanya Adab dalam diri manusia maka hikmah akan timbul. Melalui Hikmah ini nantilah seseorang manusia dapat melaksanakan keadilan pada dirinya dan dalam masyarakat. 

Pendek kata, peri pentingnya memugarkan semula pengkajian metafizik kerana ilmu inilah nanti berupaya untuk memberikan kebahagian yang sebenar kepada manusia. Ia memberikan keyakinan kepada manusia kepada makna sebenar tentang kehidupan. Untuk itu selamat berfikir dan mengkaji moga kita mencapai kebahagiaan yang sebenar dengan kehidupan di dunia akan terus aman dan harmoni.

Sumber: https://www.bharian.com.my/rencana/agama/2022/04/944255/kajian-metafizik-berlandas-islam-bantu-manusia-capai-makna-kebahagiaan


Mohd Jamizal Zainol Penyelidik di Tradisi

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top