
Oleh: Firuz Ramli
Perbahasan wahdatulwujud adalah satu polemik yang didakwa dari makrifah yang terhasil dari alam selain alam fizik. Kemudian ia diterjemahkan dalam bahasa isyarat yang berbaur falsafah. Suatu perbahasan yang kontraversi berkurun lamanya kerana pro dan kontra dalam isu ini adalah dari kalangan tokoh ilmuwan.
Beberapa pendekatan diambil untuk mengulas, menafsir maksud yang ingin disampaikan oleh urafa’ dan sufi ini bahkan ada dikalangan filusuf mengatakan bahasanya luar dari jangkauan akal. Antara pandangan Hukama yang boleh diberi perhatian mengenai polemik ini adalah pandangan wahdah-tashkik-wujud.
Jika anda seorang pelajar jurusan usuluddin, pasti subjek ilmu mantiq adalah tidak asing lagi. Di dalam ilmu mantiq pada perbahasan mukadimah bab takrif, pelajar akan bertemu dengan bab lafaz. Perbahasan lafaz bukanlah subjek ilmu mantiq kerana subjeknya adalah mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan alam minda, oleh kerana pemikiran seseorang itu disampaikan dalam bentuk lafaz kata dan tulisan maka ia secara tak langsung ia dibincangkan dalam ilmu mantiq.
Dalam subjek lafaz, setelah pelajar selesai bab dilalah iaitu perbahasan hubungan kata dan mafhum/makna, maka pelajar akan memasuki bab kulli dan juz’ie. Dalam bab kulli iaitu ketika lafaz yang memberi maksud kulli/umum dan gambaran umum yang terdapat dalam minda itu disuaikan dengan objek diluar minda maka ia tidak terlepas dari dua keadaan sama ada :
1) Makna di alam minda yang umum itu apabila disuaikan pada objek individu-individunya maka gambaran makna itu menunjuk pada keseluruhan wujud individu tersebut contohnya makna manusia ditujukan kepada Zaid, Ali, Abu semuanya sekata dan sama, tiada makna manusia itu lebih diantara Zaid atau Ali atau Abu. Tidak kita katakan Ali lebih manusia dari Zaid.
2) atau gambaran makna umum yang terdapat dalam alam minda kita ini bila disuaikan dengan objek diluar itu sama maksud tetapi tidak sekata maksudnya seperti putih. ‘Putih’ adalah kategori warna, anda boleh lihat banyak objek yang berwarna putih tetapi anda boleh katakan salji lebih dari awan tetapi tidak bagi kata manusia, haiwan seperti anda katakan kambing ini lebih haiwan dari lembu.
maka yang pertama dipanggil Mutawati dan kedua tashkiki.
Ada pun dinamakan sebagai tashkik (تشكيك) itu kerana seseorang itu boleh syak sesuatu nilai makna antara A dengan B, iaitu A dan B walau pun sama-sama dalam perkara X namun dalam masa yang sama ada perkara yang tidak sama iaitu perkara tersebut juga merujuk pada perkara X. Perhatikan contoh X mewakili warna putih yang saya berikan, apakah yang sama antara A dan B ? Yang sama adalah X iaitu putih, dan apakah yang membezakan antara A dan B ? jawapannya juga tetap X itu sendiri iaitu putih kerana A lebih putih dari B, salji lebih putih dari awan.
Ilmu mantiq menganalisa makna tashkik (تشكيك) ini dengan lebih mendalam lagi iaitu dengan membahagikan makna ini kepada 3 bahagian iaitu:
1. Awwaliyah
2. Uluwwiyah
3. Syiddah wa dhaif.
Huraian lanjut pembahagian ini anda dapat rujuk dalam ilmu mantiq.
Kasrah (banyak), Tashkik dan Wujud
Perbahasan tashkik dalam ilmu mantiq atau logik, ia berputar sekitar alam minda, namun dalam falsafah ia membicarakan tentang kewujudan tashkik. Tashkik adalah satu realiti yang menghasilkan kefahaman kepada kita tentang banyak dan kuantiti sesuatu hakikat tersebut, namun banyak dan perbezaan itu dilihat dari sudut lemah dan kuat suatu hakikat tersebut.
Apabila seorang filusuf melihat realiti banyak dan berbilang pada hakikat alam ini, maka timbul persoalan adakah realiti banyak itu hanya terhasil jika terjadinya tumpangan suatu hakikat kepada suatu hakikat yang lain? Penjelasan lebih mudah Adakah A dan B itu berbeza jika sekiranya ada suatu entiti yang ada pada A tidak ada pada B begitu juga sebaliknya? Sebagai contoh persamaan pada hakikat haiwan adalah pada ‘Nau’nya (jenis) tetapi perbezaan berlaku kerana ada entiti yang dinamakan sebagai ‘Fasl’ untuk membezakan antara lembu dengan kuda, harimau dengan buaya. Atau memang terdapat hakikat dinama ia tidak memerlukan pada entiti yang lain, namun cukup dengan dirinya sahaja tetapi dari sisi lemah dan kuat hakikat tersebut akan menyebabkan terjadinya hakikat banyak tersebut.
Anda yakin bahawa realiti perbezaan itu wujud, dari perbezaan lahirlah realiti banyak dan berbilang. Anda yakin monyet dan kucing itu berbeza, anda juga yakin warna putih sajli lebih putih dari kulit anda yang putih gebu. Jika anda memilih jalan pertama sahaja yang memungkinkan terjadinya hakikat banyak maka anda menafikan kewujudan “Tashkik”, jika anda menerima jalan kedua juga wujud maka anda setuju hakikat Tashkik itu wujud.
Apakah faktor bagi ‘Beza’?
1. Secara adatnya anda dapat fahami ‘beza’ ketika 2 perkara dinisbahkan dan dibandingkan iaitu A dengan B dan ada 3 bentuk perbezaan iaitu sama ada perbezaan itu :
– Disebabkan perkara aradhi (luaran dari zat/sifat) contoh Hassan dan Shila, dari sudut kemanusian mereka adalah sama tetapi dari sudut warna kulit, bentuk, jantina adalah berbeza. Aradhi disini maksudnya adalah perkara luar dari zat, dan zat mereka adalah sama. ما به الامتياز adalah aradhi dan ما به الاشتراك adalah zat.
– atau disebabkan perkara zati secara sebahagian dari zat adalah ما به الامتياز dan sebahagian lagi adalah ما به الاشتراك contohnya Manusia dengan kuda adalah sama dari sudut Jinsnya iaitu haiwan tetapi perbezaan pada fasl (ما به الامتياز).
– atau disebabkan zat, dalam keadaan ini ما به الامتياز adalah zat secara keluruhannya berbeza contoh perkara maqulat (مقولات) seperti zat merah dengan nombor, zaid dengan putihnya kertas, persamaan hanyalah perkara aradhi.
2. 3 bentuk perbezaan di atas semuanya menunjukkan A dan B memiliki persamaan pada Y dan tidak memiliki persamaan pada X, iaitu ما به الاشتراك adalah Y manakala ما به الامتياز adalah X, yang kedua-duanya iaitu Y dan X bukan perkara yang sama.
3. Tetapi jika anda dapat andaikan bahawa terdapat hakikat yang solid yang tak dapat dipisah-pisahkan dan dibahagikan seperti perkara di atas iaitu antara zat dengan aradh, atau zat dengan sebahagiannya namun dalam pada masa yang sama terjadi kasrah/berbilang baginya maka pasti ada perbezaan (ما به الامتياز ) mana mungkin tiada perbezaan sama sekali akan terjadinya 2 entiti yang berbeza, yang memungkinkan hanya satu entiti tetapi 2 nama ibarat satu entiti itu disebut “Air” dalam bahasa melayu namun disebut “water” dalam bahasa inggeris . Namun jika sesuatu hakikat itu tidak dapat dibahagi-bahagikan dan masih terjadinya juga perbezaan maka ما به الامتياز dan ما به الاشتراك adalah perkara yang sama iaitu hakikat ‘sama’ dan ‘beza’ adalah satu hakikat iaitu Y dan X adalah sautu yang sama dan juga suatu yang berbeza dalam pada masa yang sama.
Contohnya hakikat TERANG, apakah terang itu memiliki zat dan aradh? Apa yang membezakan cahaya ini terang dengan cahaya itu? Begitu juga dengan hakikat masa, apa beza hakikat masa lalu dengan masa sekarang? Yang beza adalah dari sisi masa, dan yang sama juga dari sisi masa, Y dan X adalah perkara yang sama.
Jika kita telah menerima wujudnya hakikat tashkik ini maka persoalan seterusnya dimanakah tashkik ini berlaku?
4. Maka filusuf membincangkan hal ini, apakah hakikat tashkik ini? Adakah ia perkara aradhi? atau perkara mahiyyah? atau adakah hakikatnya adalah cahaya ? atau tashkik ini adalah hakikat wujud itu sendiri lawan dari mahiyyah?
5. Pandangan yang mengatakan tashkik yang berlaku pada aradhi ini sebenarnya hakikatnya adalah penghubung seperti warna hitam dengan jisim sebagai contoh kayu itu hitam. Warna hitam adalah aradh yang menduduki pada kayu, tetapi subjek bagi warna hitam adalah hakikat kehitaman itu sendiri, namun wujudnya di alam luar minda, anda tidak mampu ketemukan yang hitam itu wujud tanpa pada sandaran apa-apa.
Kayu bukanlah subjek bagi hitam, anda tidak mengatakan kayu adalah hitam dan hitam adalah kayu, hitam adalah hitam. Tashkik berlaku bila penisbahan warna hitam pada kayu tersebut dengan hakikat kehitaman, hitam itu dikira lebih hitam jika ia memiliki lebih banyak hakikat dari kehitaman itu.
6. Ini satu pandangan tentang tashkik. Untuk anda lebih faham apa wahdatul-tashkik-wujud ini, masih banyak perbahasan yang saya perlu kupas supaya pembaca mendapat gambaran tepat bagaimana satu hakikat yang dikatakan berbeza dalam masa yang sama ia adalah sama, hakikat yang dikatakan satu dalam masa yang sama adalah berbilang? Inilah permasalahan sebenar wahdatulwujud. Persoalan lain, adakah satu yang tunggal itu berlawanan dengan banyak? apa maksud berlawanan?تقابل
Saya tangguh persoalan ini pada tulisan yang akan datang.
Firuz Ramli, Penyelidik di TRADISI